Wednesday, February 23, 2011

SAHABAT SEBENAR~

Sebaik-baik sahabat ialah yang elok dalam perangai dan budi pekerti.

Jangan basuh mangkuk persahabatan dengan cuka.

Apabila temanmu berubah dan bertukar keadaannya,jangan engkau tinggalkan dia,kerana sekali ia membengkok dan sekali ia melurus.

Sendirian lebih baik daripada mengambil teman duduk dengan orang jahat, dan teman duduk orang baik adalah lebih baik daripada sendirian.

Apabila engkau ingin mengambil seseorang menjadai teman,maka buatlah dia supaya marah kemudian suruh orang bertanya kepadanya tentang dirimu dan rahsiamu.Sekiranya ia mengatakan yang baik dan menyembunyikan rahsiamu,maka ambillah dia menjadai sahabat.

Tiadalah yang menyentuhkan akau ke dalam bencana selain kerana berteman dengan orang yang kau tidak malu kepadanya.

Kalau engkau ramai sahabat bersyukurlah!Lantaran ramai orang yang menghargai dan memperhatikan engkau,tandanya harga dirimu mahal dan timbangannya berat.

Persahabatan adalah perisai bagi segala bencana dan segala peristiwa yang terjadi pada setiap zaman.

Manusia yang paling lemah ialah orang yang tidak sanggup mencari teman dan paling lemah daripada itu ialah orang yang menyia-yiakan teman yang diperolehinnya.

Barang siapa menghendaki daripada sahabatnya apa yang tidak dikehendakinya,maka sesungguhnya ia telah berbuat zalim kepadanya.Barang siapa menghendaki daripada sahabatnya seperti apa yang dikehendakinya,sesungguhnya ia telah mendatangkan kepayahan kepadanya.Barang siapa tidak mengkehendaki apa-apa daripada sahabatnya,seseungguhnya ia berbuat keutamaan kepadanya.

Sahabat sejati adalah orang-orang yang dapat berkata-kata benar denganmu, dan bukan orang-orang yang dapat membenarkan kata-katamu.

Teman-teman kita kasihi daripada keluarga dan anak-anak kita,kerana keluarga mengingatkan kita kepada dunia dan teman-teman mengingatkan kita pada akhirat.

Uji sahabatmu dengan kepapaan atau kesusahan kamu.

Kekayaan menarik sahabat-sahabatmu.,kemiskinan menjadi penolaknya.

Sahabatmu pada hari ini boleh menjadi seteru pada hari esok.

Sahabat yang bebal lebih merbahaya daripada seteru yang berakal.

Sahabat yang celaka itu sentiasa melalaikan kita,tetapi seteru yang celaka sentiasa mengingatkan kita.

Anjing yang garang itu lebih baik daripada sahabat yang khianat.

Bersahabat dengan orang jahat itu ibarat berperahu di laut.Sunguhpun kita selamat daripada tenggelam tetapi kita tidak terlepas daripada rasa takut.

Sahabat sering menjadi musuh.Oleh itu berhati-hatilah memilih sahabat.

Bermusuh dengan orang yang berakal lebih ringan daripada bersahabat dengan orang bodoh.

Apabila datang kesusahan dan kepayahan,di situlah nyata kawan dan lawan.

Bersahabatlah dengan hatimu terlebih dahulu daripada bersahabat dengan orang lain.

Pengubat jerih manusia adalah dua keutamaan,pertama iman kepada Allah,kedua percaya kepada sahabat.

Supaya engkau beroleh sahabat,hendaklah diri engkau sendiri sanggup menyempurnakan menjadi sahabat orang.

Sahabatmu suka kepadamu,tetapi tidaklah tiap-tiap orang yang suka kepadamu itu sahabatmu.

Bila orang merasa dirinya besar,dia lupa akan salahnya,hanya sahabat yang setia sanggup membuka matanya.

Musuhmu adalah sahabatmu yang akrab.

Jangan ditanya siapa orang itu,tetapi tanyalah siapa temannya.Kerana teman saling mencontohi.

Apabila orang salih memandang akan orang fasik maka ia mendoakan"Wahai tuhanku,kurniailah kepadanya petunjuk,terimalah taubatnya dan ampunilah kesalahannya.

Suatu pendirian yang salah,tidak akan dapat dipertahankan apabila berhadapan dengan pendirian yang benar.

Manusia memang selalu lalai memperhitungkannya bahawa dia bersalah.Setelah datang malapetaka dengan tiba-tiba dia mejadi bingung,lalu menyalahkan orang lain atau menyalahkan takdir.

Mustahil bahawa yang salah akan dapat bertahan lama.Mempertahankan yang batil,sama seperti menunda kekalahan.

UNTUKKU UNTUKMU..

Hari ini sebelum kita mengatakan kata-kata yang tidak baik,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.

Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.

Sebelum anda mengeluh tidak punya apa-apa,
Fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta dijalanan.

Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk,
Fikirkan tentang seseorang yang berada pada keadaan yang terburuk di dalam hidupnya.

Sebelum mengeluh tentang suami atau isteri anda,
Fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan teman hidup.

Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup,
Fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.

Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak kita,
Fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.

Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor kerana pembantu tidak mengerjakan tugasnya,
Fikirkan tentang orang-orang yang tinggal dijalanan.

Dan di saat kita letih dan mengeluh tentang pekerjaan,
Fikirkan tentang pengangguran, orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti kita.

Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain,
Ingatlah bahawa tidak ada seorangpun yang tidak berdosa.

Dan ketika kita sedang bersedih dan hidup dalam kesusahan,
Tersenyum dan berterima kasihlah kepada Tuhan bahawa kita masih hidup !

Thursday, February 10, 2011

PERBEZAAN PENGKID,TOMBOY DAN LESBIAN..HANYA UNTUK BACAAN..

PENGKID, bukan fenomena sosial yang baru di dalam masyarakat. Suatu ketika dulu ia tidak begitu ketara tetapi kini budaya songsang itu dikatakan semakin menular di negara ini.

Menurut laporan sebuah laman web baru-baru ini, dianggarkan terdapat lebih 10,000 pengkid di seluruh Malaysia.

Daripada jumlah itu, dianggarkan 80 peratus adalah golongan pelajar, sama ada pelajar sekolah ataupun penuntut institusi pengajian tinggi. Selebihnya pula golongan yang sudah bekerja dalam lingkungan umur 25 hingga 40 tahun.

Rentetan itu, banyak kejadian dilaporkan media membabitkan cinta pengkid yang menimbulkan pelbagai kemelut masyarakat.


Ikuti temubual wartawan Fairul Asmaini Mohd Pilus (asmaini@nstp.com.my) yang menyelami perasaan beberapa wanita yang pernah bergelar pengkid serta menjadi kekasih kepada golongan berkenaan.



SEPERTI tomboi, pengkid memang mudah dikenali kerana selain penampilan seperti lelaki termasuk tingkah laku, sikap dan tindakan, kecenderungan cinta dan tarikan seksualnya juga kepada golongan sejenis.

Golongan ini cuba menonjolkan identiti jantina berlawanan dengan norma biologi, moral dan sosial kewanitaan yang mereka miliki.

Jika sedikit masa lalu, golongan berkenaan kurang menonjol dan mempunyai pengikut yang tidak ketara tetapi kini, mereka dikatakan semakin bebas mempamerkan pengaruh tanpa berasa takut.

Bukan itu saja, beberapa laman web juga diwujudkan bagi mencari komuniti dan antara yang popular termasuk pengkidwebsite.blogspot.com, www.olx.com.my/q/pengkid dan pengkidmalaysia.forumotion.net.

Walaupun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada Oktober 2008 lalu sudah mengeluarkan fatwa mengharamkan pengkid kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat, masalah terbabit masih tidak dapat dibendung malah golongan itu semakin berani di khalayak ramai seolah-olah mencabar fatwa berkenaan.

Keputusan muzakarah terbabit merujuk kepada larangan (pengharaman) asal Nabi Muhammad s.a.w terhadap lelaki yang menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki dalam hadis yang bermaksud:

"Rasulullah s.a.w melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki." (Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibnu Majah, & Ahmad).

Banyak sebab yang mendorong seseorang itu terjebak dengan gejala terbabit seperti kemahuan dari dalam diri yang ingin menjadi seseorang yang serba boleh, bebas melakukan apa saja yang digemari dan mahu mencari kelainan.

Ada pihak mendakwa, sesetengah mereka yang terbabit dengan gejala pengkid disebabkan kecenderungan sejak kanak-kanak yang lebih berminat kepada perempuan dan persekitaran mereka dibesarkan.

Fenomena berlaku atas keinginan dan kehendak diri iaitu perhubungan cinta dan seksual seorang perempuan bersama perempuan lain dengan alasan hanya perempuan mengetahui keinginan perempuan dan menjanjikan kepuasan yang lebih.

Golongan yang boleh dikategorikan sebagai subbudaya ini dikatakan cepat bertukar pasangan dan ada di kalangan mereka mempunyai ramai pasangan dalam satu masa dan yang dicari hanya kepuasan nafsu semata-mata.

Bekas pengkid, Siti Mohd (bukan nama sebenar), 26, berkata, golongan itu sebenarnya terbahagi kepada dua iaitu pengkid yang senang mendapat kekasih serta mudah melepaskan mereka dan satu lagi jenis tegar yang tidak mungkin melupakan seseorang itu dengan sewenang-wenangnya.

Dia berkata, pengkid memang selalu bergaduh dengan pasangan mereka kerana cemburu yang keterlaluan dan ada ketikanya ia membabitkan serangan fizikal yang membahayakan nyawa.

Cita rasa pengkid memang tidak ubah seperti lelaki dan mereka akan memilih gadis yang berambut panjang, putih dan manja.

"Memang pengkid menyukai gadis yang berambut panjang, berkulit putih dan manja kerana semua ciri berkenaan tiada pada mereka.

"Dengan bermodalkan ayat manis serta berpura-pura memahami, pengkid memang mudah memikat remaja terutama yang mentah dan tercari-cari haluan hidup.

"Apa yang menghairankan, kenapa gadis mudah percaya dan tertarik kepada golongan pengkid ini sedangkan mereka tahu kami adalah daripada jantina yang sama?" katanya ketika ditemui di Kem Modal Insan Kewaja, Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Siti, pengkid yang sudah senior biasanya hanya mengambil masa sekitar tiga atau empat bulan saja untuk mengurat awek idaman mereka sebelum menjadi pasangan.

Tiga bulan pertama pengkid akan memikat habis-habisan sehingga sanggup membelanjakan ribuan ringgit bagi menakluk hati gadis yang dimahukan.

"Apabila mendapat gadis yang dimahukan, pengkid akan menjaganya dengan sebaik mungkin dan mengharapkan layanan yang sama daripada pasangan.

"Jika tinggal bersama, gaya hidup mereka tak ubah seperti suami isteri yang sah malah tanpa malu, mereka akan berpakaian sedondon apabila di khalayak.

"Lebih menakutkan, ada yang sanggup bertindak di luar batasan apabila bergaduh dan diakui sekali terjebak, memang susah untuk melarikan diri daripada pengkid," katanya.

Akui Siti lagi, awek (kekasih sejenis) yang paling lama dimilikinya ialah Lia, 19, gadis berambut panjang yang berasal dari sebuah negeri di selatan tanah air. Hubungan mereka hampir dua tahun sebelum ia berakhir kerana berpindah sekolah.

Menurut Siti, seperti pengkid yang lain, dia memang menjaga baik kekasihnya itu tetapi hubungan mereka tidak sampai ke ranjang kerana tidak mahu menambah dosa.

Dia dan bekas kekasihnya hanya keluar makan, tengok wayang dan menghabiskan masa bersama tanpa membabitkan hubungan seks.

Akuinya, dia memang sayangkan Lia dan disebabkan itu, tidak mahu masa depannya rosak disebabkan dirinya.

"Walaupun geng pengkid yang lain menggelarkan saya sebagai penakut tetapi saya tidak kisah kerana saya memang menyayangi dia sepenuh hati.

"Jika diingat kembali, mujurlah saya tidak melakukan perkara berkenaan (seks) kerana jika sudah ketagih, pasti akan lebih susah dan mengambil masa untuk berubah.

"Kini, saya mahu kembali ke pangkal jalan kerana umur pun semakin meningkat dan tiada gunanya berterusan begitu. Apa yang pasti keinginan itu lahir bukan kerana paksaan sesiapa tetapi kerana keinginan diri sendiri," katanya.

Shira Sahar (bukan nama sebenar), 24, pula mengakui hampir menjadi kekasih kepada pengkid kerana tertarik kepada kebaikan yang diberikan.

Walaupun ketika itu dia mempunyai teman lelaki, pengkid yang dikenali sebagai Bib itu tetap tidak mengaku kalah untuk menawan hatinya.

Katanya, dia dan Bib adalah rakan sekuliah dan hubungan mereka rapat atas dasar sahabat baik yang sering melakukan kerja berkumpulan bersama.

"Bib memang menjadi tempat saya meluahkan perasaan apabila bergaduh dengan teman lelaki atau mempunyai masalah lain kerana dia memang pendengar yang baik.

"Dia juga sering datang ke asrama dan memberikan banyak hadiah seperti patung beruang, coklat serta aksesori yang pada fikiran saya hanya hadiah daripada rakan baik.

"Memang seronok apabila kerap menerima hadiah tetapi lama-kelamaan, saya mula menyedari sesuatu yang tidak kena apabila Bib mula mengawal hidup termasuk cuba menghalang saya daripada bercampur dengan rakan sekuliah lain termasuk dengan pensyarah lelaki," katanya.

Shira berkata, teman lelakinya pernah memarahi Bib supaya menjauhkan diri daripadanya tetapi tidak diendahkan.

"Kami pernah bergaduh teruk kerana teman lelaki saya menemui SMS daripada Bib yang tidak disenanginya.

"Saya akui, saya juga bersalah kerana memberi pengkid seperti Bib ruang untuk mendekati.

"Sejak itu saya memutuskan untuk menjauhkan diri daripada Bib dan selepas habis belajar, saya berpindah dan menukar nombor telefon baru," katanya yang bersyukur kerana cepat menyedari perkara itu lebih awal.

Menurut Reen Ahmad (bukan nama sebenar), 26, pula, kebanyakan gadis yang terjebak dengan cinta pengkid semata-mata mahu berseronok dan ada juga yang berpunca daripada kekecewaan cinta bersama teman lelaki.

Reen berkata, dia pernah menjadi kekasih kepada pengkid selama tiga tahun selepas kecewa dengan bekas teman lelakinya.

Dia mengakui, sepanjang tempoh itu, kehidupan banyak dibiayai oleh Shah seolah-olah pengkid itu suaminya.

Dia bertemu dengan kekasihnya, Shah, di satu kejohanan silat kerana mereka masing-masing aktif dalam persatuan silat di sekolah.

Katanya, ketika pertama kali bertemu, Shah terus meminta nombor telefonnya dan selepas itu dia selalu menghubunginya untuk membincangkan aktiviti silat mereka.

"Saya begitu naif ketika itu dan menganggap dia sebagai rakan rapat kerana kami mempunyai minat yang sama.

"Memang diakui Shah melayan saya begitu baik dan jarang sekali meninggikan suara.

"Perwatakannya yang sentiasa tenang dan matang membuatkan saya mula tertarik kepadanya," kata anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Reen berkata, selepas tamat Sijil Persekolahan Malaysia (SPM), mereka terpisah kerana melanjutkan pelajaran di kolej manakala Shah mengambil keputusan untuk bekerja.

Ketika itulah hubungan mereka semakin rapat kerana Shah setiap bulan menghulurkan wang belanja kepadanya.

"Tidak seperti lelaki, pengkid memang amat memahami wanita dan jarang mendesak.

"Mereka cuma perlu diberi perhatian dan layanan baik dan jangan sesekali berkasar atau bercakap mengenai lelaki dengan mereka kerana itu menjadi pantang kepada golongan berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, hubungan mereka putus selepas dia menemui teman lelakinya sekarang dan berpindah ke ibu kota.

Kata Reen, memang susah untuk melepaskan diri daripada Shah tetapi dia nekad meskipun sedar selama ini sudah banyak terhutang budi kepadanya.

"Pada pandangan saya, gadis yang menjadi pasangan lebih mudah untuk berubah berbanding pengkid melainkan keinginan dirinya sendiri.

"Masyarakat mungkin boleh mengambil tindakan tetapi ia tidak akan mengubah apa-apa.

"Mungkin ia boleh mengubah cara pengkid berpakaian tetapi apa pula ceritanya jika ia sekadar imej luaran tetapi dalaman masih naluri sama," katanya.

Sementara itu, Pengasas Kem Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof, berkata fenomena pengkid adalah sejenis gejala pelarian sosial yang kecewa terhadap kehidupan lampau dan mahu mencari kebahagiaan dengan hidup baru.

Jelasnya, banyak faktor yang menjadi pendorong penularan fenomena berkenaan dan salah satu antaranya adalah masyarakat kita sendiri seolah-olah sudah menghalalkan budaya songsang berkenaan.

Kata Yahaya, golongan pengkid harus didekati dan jangan sesekali masyarakat membiarkan mereka terus hanyut tanpa bimbingan. Kelompok itu jika dipinggirkan tidak mustahil akan menjadi bertambah ramai.

"Tidak salah untuk kita berkawan dengan mereka tetapi pastikan tidak terikut-ikut dengan gaya hidup serta aktiviti mereka.

"Golongan pengkid ini perlu ditegur tetapi memang tidak ramai yang mempunyai keberanian untuk berbuat demikian kerana terikut dengan kata pepatah 'kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga'.

"Jadi, semua pihak terutama ibu bapa perlu mencari pendekatan terbaik dan bijaksana untuk mendekati serta membawa mereka kembali ke jalan yang benar," katanya.

Untuk itu, Yahaya menyarankan ibu bapa supaya lebih terbuka serta mendekati anak remaja mereka bagi mengetahui masalah yang dihadapi.

Jika hubungan ibu bapa dengan anak remaja erat, mereka pasti tidak akan mencari orang luar untuk dijadikan tempat mengadu.

Katanya, memang banyak kes remaja yang sukar berkomunikasi dengan keluarga terutama ibu bapa akan mencari orang luar sebagai rujukan sekiranya ada masalah.

"Mereka biasanya akan mencari kawan atau kakak angkat untuk meluahkan masalah. Andai mendapat kawan atau kakak angkat yang baik tidak mengapa, tetapi bagaimana jika sebaliknya?

"Remaja perempuan perlu lebih berhati-hati kerana di luar sana banyak jenis 'pemangsa' yang sedang menunggu untuk mengambil kesempatan.

"Jangan nanti kita mahu lari daripada mulut buaya, masuk pula ke mulut harimau," katanya.


Ciri-ciri:

Pengkid

- Berpakaian dan bergaya seperti lelaki (pakaian dan cara hidup)

- Tubuh badan dan rambut sama seperti lelaki

- Menjalin hubungan dengan wanita sehingga ada yang bercinta dan melakukan hubungan seks

- Membengkung payudara

- Suka wanita cantik

- Menganggap diri seperti lelaki yang boleh menjaga pasangan terutama apabila diganggu


Tomboi

- Perwatakan seperti lelaki

- Ada perasaan terhadap lelaki

- Bukan lesbian (suka sesama jantina atau pengkid)

- Minat terhadap aktiviti lasak dan mencabar

- Ada sikap kasar dan ganas


Lesbian

- Perwatakan sama seperti wanita sejati

- Homoseks (lesbian)

- Memiliki sikap cemburu

- Suka wanita cantik